Wednesday, November 12, 2008

Fatwa

PENGKID
Keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan sebuah fatwa bahawa perlakuan 'pengkid' adalah haram, nampaknya telah mendapat reaksi yang pelbagai daripada masyarakat, khususnya oleh golongan 'pengkid' itu sendiri. Malah, terdapat sekelompok masyarakat yang secara terang dan berani telah mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tersebut. Lebih menyedihkan, sikap yang ditunjukkan dan kenyataan yang dikeluarkan memperlihatkan seolah-olah mereka memperlekeh dan menghina fatwa tersebut.


Masyarakat di negara ini, khususnya umat Islam, harus memahami bahawa tugas dan tanggungjawab Majlis Fatwa Kebangsaan adalah sangat penting kerana mereka bertanggungjawab untuk mengeluarkan hukum. Dalam Islam, soal hukum memainkan peranan penting kerana itu menjadi 'peraturan' dalam kita menjalani kehidupan berasaskan satu sistem nilai yang teratur dan sempurna. Saya kecewa dengan sikap beberapa pihak yang seolah-olah marah apabila ada peraturan-peraturan yang dikeluarkan untuk memandu kehidupan masyarakat. Apakah peraturan itu sesuatu yang tidak baik? Bukankah di mana-mana sahaja, di pelbagai peringkat, terdapat peraturan yang menjadikan kehidupan kita sebagai manusia lebih tersusun dan beradab?

Justeru, umat Islam di negara ini perlu menghormati dan mematuhi fatwa yang dikeluarkan kerana tujuan fatwa tersebut adalah untuk mewujudkan kehidupan yang lebih baik, bukannya untuk mengongkong. Masyarakat yang lain pula, khusunya yang bukan beragama Islam yang menentang fatwa, perlu diingatkan agar jangan bertindak di luar batasan. Jangan cabar fatwa. Fatwa adalah khusus untuk umat Islam, justeru umat yang bukan beragama Islam tidak seharusnya campur tangan dan mempersoalkan hal-hal agama Islam, apatah lagi dalam keadaan mereka tidak memahami asas-asas dalam agama ini sendiri. Perlu difahamkan juga, bahawa proses untuk mengeluarkan sesuatu fatwa itu adalah satu proses yang cukup ilmiah dan sistematik (boleh rujuk dalam Portal e-Fatwa), yang berasaskan kepada sistem ilmu Islam yang begitu komprehensif dan teliti. Bukanlah fatwa itu dibuat berdasarkan kepada emosi dan sentimen semata-mata. Justeru, jika ada pun pertikaian dan persoalan yang ingin dikemukakan, biarlah hal itu dilakukan secara beradab dan melalui saluran-saluran yang betul.

No comments: